Zaliha, Na’im gugur daripada Jemaah Menteri

Zaliha, Na’im gugur daripada Jemaah Menteri

Dr Zaliha Mustafa dan Na'im Mokhtar sebelum ini menteri di JPM memegang portfolio Wilayah Persekutuan dan hal ehwal agama.

Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar digugurkan daripada Jemaah Menteri diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.
PUTRAJAYA:
Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar digugurkan daripada barisan Jemaah Menteri dalam rombakan kedua pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Zaliha dan Na’im sebelum ini adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri masing-masing memegang portfolio Wilayah Persekutuan serta hal ehwal agama.

Jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) digantikan dengan timbalan sebelum ini iaitu Zulkifli Hasan.

Portfolio Wilayah Persekutuan digantikan dengan Hannah Yeoh yang sebelum ini menteri belia dan sukan.

Dalam rombakan Jemaah Menteri diumumkan Anwar hari ini, terdapat beberapa timbalan menteri yang digugur dan ditukar antaranya portfolio perpaduan negara disandang K Saraswathy yang digantikan dengan R Yuneswaran.

Liew Chin Tong pula ditukar sebagai timbalan menteri kewangan. Beliau sebelum ini timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli ditukar sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi.

Selain itu, Abdul Rahman Mohamad yang sebelum ini timbalan menteri kerja raya ditukar kepada timbalan menteri peralihan tenaga dan transformasi air.

Timbalan menteri lain yang ditukar portfolio adalah Lukanisman Awang, dilantik sebagai timbalan menteri luar negeri. Sebelum ini beliau timbalan menteri kesihatan.

Ahli Parlimen Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying ditukar portfolio kepada timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Anwar berkata, pengumuman rombakan Jemaah Menteri susulan kekosongan beberapa jawatan menteri dan terdapat keperluan untuk dibuat penyesuaian.

Beliau berharap rombakan membolehkan barisan Jemaah Menteri yang ada dapat menumpukan kerja bagi menjana ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Upacara angkat sumpah akan dibuat esok di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim jam 10 pagi di Istana Negara. Mesyuarat Jemaah Menteri akan diteruskan jam 2.30 petang esok.

“Saya juga ingin meramkan penghargaan kepada menteri dan timbalan menteri yang telah menyumbangkan tenaga bakti melalui kementerian dan negara sebelum ini,” katanya.

Pada 12 Dis 2023, tiga bekas menteri Dzulkefly Ahmad, Johari Ghani dan Gobind Singh Deo kembali menganggotai Jemaah Menteri dalam rombakan pertama bawah pentadbiran Anwar.

Pejabat Perdana Menteri pada 3 Dis mengumumkan rombakan Jemaah Menteri yang kedua sejak Anwar memegang jawatan pada November 2022.

Barisan Jemaah Menteri sebelum ini mempunyai empat kekosongan iaitu ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengambil alih portfolio ekonomi buat sementara, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Johari mengendalikan portfolio sumber asli dan kelestarian alam.

Dua kekosongan itu berlaku selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR meletakkan jawatan pertengahan tahun ini.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pula mengetuai portfolio pembangunan usahawan dan koperasi buat sementara, selepas kekosongan susulan peletakan jawatan Ewon Benedick bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.