
Fahmi, yang juga menteri komunikasi, percaya antara keutamaan untuk Yeoh tertumpu pembangunan lestari dalam Wilayah Persekutuan.
“Ini saya rasa pilihan yang sangat tepat,” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian anugerah biasiswa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di Pusat Dagangan Dunia.
“Saya ada banyak pengalaman peribadi bersama dengan Hannah Yeoh yang telah memperjuangkan beberapa perkara untuk rakyat.”
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet dengan Yeoh menggantikan Dr Zaliha Mustafa.
Yeoh sebelum ini berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan, portfolio yang kini diterajui Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari.
Mengulas lanjut, Fahmi turut menyifatkan pelantikan Taufiq sebagai ‘sangat cocok’.
“Itu adalah jawatan yang sangat cocok. Beliau saya perhati sangat aktif dan penuh idea yang boleh diterjemah untuk pastikan belia dan sukan dalam negara kita terus cemerlang,” katanya.
Fahmi juga berterima kasih kepada menteri yang digugurkan dalam rombakan Kabinet, menyatakan harapan agar mereka akan terus berkhidmat atas kapasiti lain.
“Perdana menteri juga akan melihat cara terbaik untuk mereka terus menyumbang kepada negara,” katanya.