
Pengerusi Save Kuala Lumpur, M Ali, memuji pelantikan Yeoh, menyatakan Ahli Parlimen Segambut itu proaktif dengan pengundinya.
“Kini kami berharap beliau akan meluaskan perhatian ke seluruh Wilayah Persekutuan, terutama dengan datang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dan berinteraksi dengan rakyat,” katanya kepada FMT.
Beliau menggesa Yeoh beri tumpuan pada mengembalikan semula pilihan raya majlis tempatan — yang sekian lama diperjuangkan DAP sejak ia jadi pembangkang — dan memulihkan lebih 52 kolam takungan air, seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ali juga ingin tahu bagaimana Yeoh, yang dianggap sebagai menteri belia dan sukan yang proaktif dan prihatin, akan urus portfolio Wilayah Persekutuan yang kompleks.
Beliau berkata Yeoh perlu berdepan pemaju dan pihak berkepentingan lain, serta ‘tangan-tangan ghaib’.
“Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dan menekankan bahawa beliau harus fokus pada keperluan ‘warga KL’ dan tidak terjerumus ke dalam perangkap pemaju dan pihak berkepentingan diri dengan mengorbankan rakyat.”
Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) berkata Yeoh sepatutnya boleh terus melaksanakan tugas dengan pantas kerana beliau sudah mempunyai pemahaman yang kukuh tentang isu dan cabaran yang dihadapi penduduk.
Setiausaha Kehormat Joshua Low menyatakan Kuala Lumpur berhadapan pembangunan tidak mampan yang menyebabkan bandar itu melebihi kapasiti tampung. Beliau berkata ini mengakibatkan paras pencemaran yang lebih tinggi, banjir kilat yang lebih kerap, dan kehilangan biodiversiti yang dipercepatkan.
Beliau berharap pandangan penduduk bandar diambil serius dan diambil tindakan dalam membentuk pembangunan dan pengurusan bandar — bermula dengan penglibatan yang tulen dan bukan sekadar memenuhi syarat.
“KLRA+SD mengharapkan penglibatan yang membina dalam memajukan kesejahteraan, keterangkuman, dan pembangunan mampan Kuala Lumpur untuk manfaat rakyat,” kata Low kepada FMT.
“Dalam jangka masa sederhana, kami berharap untuk melihat reformasi institusi dalam cara ibu negara diuruskan kerana kuasa telah terlalu terpusat.”
Beliau juga menyeru reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meningkatkan ketelusan, penyertaan komuniti, dan membuat keputusan yang seimbang.
Anwar mengumumkan rombakan Jemaah Menteri hari ini, dengan Yeoh menggantikan Dr Zaliha Mustafa sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri.
Yeoh sebelum ini berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan, portfolio yang kini disandang oleh Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari.