Dana tabung Zara Qairina direkod jelas, kata ibu

Dana tabung Zara Qairina direkod jelas, kata ibu

Noraidah Lamat berkata segala penggunaan dana direkod jelas dengan audit dinasihatkan dibuat selepas selesai prosiding inkues.

zara qairina
Noraidah Lamat minta semua pihak tidak fitnah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli yang menjadi aktivis memulakan gerakan ‘Justice for Zara’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penggunaan dana dalam tabung ‘Justice For Zara’ yang terkait Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli mempunyai rekod jelas, kata Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina Mahathir.

Noraidah, 45, berkata pihaknya telah dinasihatkan untuk hanya melakukan audit dana terbabit selepas prosiding inkues dan kes anaknya selesai.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar tidak memfitnah Marhamah, yang merupakan aktivis memulakan gerakan ‘Justice for Zara’.

“Kepada yang suka memfitnah beliau (Marhamah), boleh baca hingga hadam. Tabung tersebut hanya dibuka dua hari dan sudah ditutup.

“Segala penggunaan dana ada direkod dengan jelas dan kami dinasihatkan hanya akan melakukan audit apabila selesai prosiding inkues dan kes,” katanya dalam catatan di Facebook.

Menurut Bernama, Marhamah ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur menegaskan tiada dana yang disalah guna dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara bagi menampung kos proses inkues.

Beliau berkata, akaun tabung itu diasingkan sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun NGO lain yang pernah dipengerusikannya, selain mempunyai penama tersendiri termasuk Noraidah dan beberapa peguam.

Marhamah antara individu terawal membantu memberi sokongan kepada Noraidah selepas anaknya, Zara, yang bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Papar, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Zara yang juga pelajar Tingkatan Satu sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.