
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai beberapa pertimbangan sebelum melantik Hannah dan Lo menerajui portfolio itu.
“Semua keputusan utama itu dibawa kepada Kabinet dan pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa ketentuan bahawa kepentingan semua pihak akan terjaga.
“Perkara ini bukan soal bangsa kerana Kerajaan Madani memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman dalam pelaksanaan agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini hari ini.
Zahid berkata walaupun Hannah merupakan wakil DAP, prestasi beliau semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan membuktikan tiada agenda perkauman sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pelantikan Hannah, dan Lo yang mewakili parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga katanya, mengambil kira kedudukan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Zahid turut memberikan jaminan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri termasuk beliau sendiri, akan bersama-sama melakukan pemantauan bagi menentukan bahawa agenda nasional sentiasa diberi keutamaan.
Rombakan Kabinet pada Selasa menyaksikan Hannah bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) manakala Lo yang merupakan muka baharu dilantik sebagai timbalannya.