Penganggur didakwa bunuh, simpan mayat isteri

Penganggur didakwa bunuh, simpan mayat isteri

Khairul Rizuan didakwa membunuh Wan Khairul Safinah Ishak di sebuah rumah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, 8 Disember lalu.

Tertuduh, Khairul Rizuan Abdullah, 28, didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, Wan Khairul Safinah Ishak, 44. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, dalam kejadian di Seberang Jaya pada 8 Disember lalu.

Tertuduh, Khairul Rizuan Abdullah, 28, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, menurut Sinar Harian.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairul Rizuan didakwa membunuh Wan Khairul Safinah Ishak, 44 di sebuah rumah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, kira-kira 4 petang, 8 Disember lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 10 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai menyimpan mayat isterinya selama empat hari selepas membunuh wanita tersebut di rumah mereka.

Kejadian itu dipercayai terbongkar selepas suspek membuat sendiri laporan polis berhubung kejadian sebelum pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat mangsa dengan kesan kelar di leher.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.