
Mangsa dipercayai terjatuh pada petang Rabu sebelum mayatnya ditemukan oleh pekerja penyelenggaraan di atas pentas dewan berkenaan pada pagi tadi.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Kasim Muda berkata pihaknya menerima makluman awal mengenai kejadian itu kira-kira 10.10 pagi dan sepasukan polis bersama pegawai penyiasat telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas di dalam Dewan Canselor oleh dua pekerja penyelenggaraan yang sedang menjalankan tugas di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.
Menurutnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dewan itu mendapati mangsa dilihat terjatuh pada Rabu kira-kira jam 6.09 petang.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Sementara itu, UMS dalam satu kenyataan berkata pihak universiti kini sedang menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
“UMS dengan penuh rasa dukacita mengesahkan satu kejadian kematian yang melibatkan seorang pelajar lelaki di dalam kawasan kampus UMS. Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, pihak universiti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut kepada orang awam sekiranya perlu.
“Segala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan rasmi siasatan kelak.
“UMS turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan yang dikasihi,” katanya.