Pelajar kurang mampu gagal daftar IPT kerana sistem lemah, Gagasan Rakyat mahu libat urus

Pelajar kurang mampu gagal daftar IPT kerana sistem lemah, Gagasan Rakyat mahu libat urus

Pemuda Gagasan Rakyat bertindak atas laporan terdapat pelajar tarik diri akibat kesempitan kewangan, walaupun kerajaan Sabah sediakan pelbagai bantuan.

pelajar universiti
Pemuda Gagasan Rakyat mahu libat urus dengan agensi kerajaan susulan laporan terdapat pelajar ditawarkan tempat mengikuti pengajian tarik diri akibat kesempitan kewangan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengadakan libat urus dengan agensi kerajaan dan institusi pengajian, serta pihak berkepentingan lain, bagi menyelesaikan isu warga gagal mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akibat kekangan kewangan.

Ini menyusuli laporan bahawa terdapat pelajar yang ditawarkan tempat mengikuti pengajian menarik diri akibat kesempitan kewangan, walaupun kerajaan Sabah menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan untuk membantu mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Isu ini bukan semata-mata soal ketiadaan bantuan, tetapi kelemahan dari sudut pelaksanaan, penyampaian dan pemantauan,” katanya menurut kenyataan.

Pemuda Gagasan Rakyat menarik perhatian kepada Bantuan Tunai Pendaftaran IPT yang memperuntukkan RM2,000 bagi pengajian ijazah sarjana muda dan RM1,500 bagi diploma, asasi serta matrikulasi; dan dana biasiswa hampir RM138 juta pada tahun ini — tertinggi dalam sejarah Sabah — yang dijangka meningkat tahun depan.

Katanya, sayap itu berulang kali menegaskan agensi yang menyelia bantuan dan inisiatif pendidikan perlu menyalurkan bantuan lebih awal, khususnya sebelum atau semasa proses pendaftaran IPT; mengambil pendekatan proaktif dengan turun ke lapangan, terutama ke kawasan pedalaman; dan mengenal pasti pelajar tercicir maklumat atau menghadapi kesukaran dalam proses permohonan.

“Tiada anak Sabah sepatutnya tercicir untuk meneruskan pendidikan hanya kerana kelemahan sistem penyampaian,” tegasnya, dan menambah libat urus itu bagi memastikan isu seumpama ini tidak berulang.

Semalam, UMS dilaporkan mengambil langkah bagi memastikan pelajar luar bandar tidak lagi menarik diri pada saat-saat akhir akibat kesempitan kewangan, melalui tawaran biasiswa, penginapan, dan kemudahan lain.

Naib Canselor Kasim Mansor dipetik Daily Express sebagai berkata, sekitar 4,600 hingga 4,700 yang benar-benar mendaftar, daripada pengambilan 5,500 pelajar setiap tahun.

Menurutnya, jumlah pelajar kurang berkemampuan dianggarkan mencecah sehingga 800 orang setahun, dengan kos pengangkutan yang tinggi ke ibu negeri dikenal pasti sebagai antara punca utama.

Kasim menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memberi perhatian kepada pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian disebabkan keadaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.