Hubungan PAS-Bersatu rapuh jika 5 Adun terlepas hukuman, kata penganalisis

Hubungan PAS-Bersatu rapuh jika 5 Adun terlepas hukuman, kata penganalisis

Tawfik Yaakub berkata Bersatu tiada pilihan selain bertindak terhadap Adun tandatangani SD sebagai menghormati PAS.

pemimpin bersatu pas
Tuan Ibrahim Tuan Man kelmarin gesa Bersatu ambil tindakan disiplin terhadap lima wakil rakyat Bersatu menandatangani akuan berkanun (SD) menarik balik sokongan Shukri Ramli sebagai menteri besar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sikap berdiam diri dan kegagalan Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap lima Adunnya berisiko menjejaskan hubungan parti itu dengan PAS yang tercalar imejnya dalam kemelut menteri besar Perlis, kata penganalisis.

Tawfik Yaakub berkata desakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man supaya tindakan tegas terhadap lima wakil rakyat Bersatu menandatangani akuan berkanun (SD) menarik balik sokongan Shukri Ramli sebagai menteri besar perlu dilihat sebagai amaran keras.

Menurut sumber, mereka terdiri Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).

PAS pula telah mengumumkan keahlian tiga Adun iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta kerana turut menandatangani SD terbabit.

Tawfiq dari Universiti Malaya berkata Bersatu tiada pilihan selain bertindak terhadap Adun terbabit sebagai menghormati PAS, rakan paling strategik serta terkuat dalam Perikatan Nasional.

“Krisis di Perlis bukan sekadar isu terpencil, sebaliknya rentetan konflik lama dari peringkat pusat termasuk dakwaan PAS tidak diberikan ruang luas dalam pembahagian jawatan dalam PN,” katanya kepada FMT.

Tawfiq berkata ketiadaan kenyataan rasmi tegas dan amaran dalam isu kemelut menteri besar Perlis itu mungkin kerana Bersatu dalam keadaan lemah akibat perpecahan.

“Bersatu dalam keadaan lemah kerana perpecahan dalaman sehingga tidak boleh buat keputusan jelas,” katanya.

Kelmarin, Tuan Ibrahim dalam mendesak tindakan disiplin ke atas lima wakil rakyat Bersatu terbabit menekankan prinsip tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN serta memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

Shukri telah meletak jawatan dengan memberi alasan kesihatan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara sukar dipercayai tindakan lima Adun terbabit dibuat secara bersendirian tanpa sokongan parti.

“Mesti ada sokongan di belakangnya daripada parti,” katanya.

Beliau berkata situasi itu berbeza dengan kes tiga Adun PAS yang bertindak di luar lingkaran parti kerana mensasarkan menteri besar daripada parti sendiri.

Azmi berpandangan perbezaan ketara antara kedua-dua kes itu menyebabkan Bersatu sukar mengambil tindakan seperti yang disarankan PAS, malah menjangkakan parti itu akan terus berdiam diri.

“Sukar saya melihat ini akan berlaku…Bersatu hanya akan mendiamkan diri saja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.