
Ti menyifatkan tindakan bahagian itu memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘tidak bertaring’, sambil berkata ia tidak mengubah apa-apa di peringkat persekutuan dan negeri, serta tidak memberi kesan kepada DAP di Puchong.
“Tindakan ini bukan sahaja gagal ‘melukakan’ DAP, malah tidak mampu mencalar Yeo,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Merujuk kepada kemenangan Yeo pada PRU lalu dengan majoriti besar 57,957 undi di Puchong, bekas naib presiden MCA itu berkata Umno sepatutnya bertindak di peringkat nasional, bukannya melalui protes lemah di bahagian.
Beliau berkata tindakan Umno Puchong itu tidak akan menjejaskan atau melemahkan Yeo, yang akan kekal sebagai Ahli Parlimen Puchong dengan mandat besar walaupun tanpa sokongan Umno.
“Malah, ‘dengkuran politik’ ini hanya menjadikan Yeo kelihatan kebal dan DAP semakin kukuh. Sementara Umno pula kelihatan reaktif, berpecah dan tidak berdaya,” katanya.
Isnin lalu, Yeo memuat naik hantaran berkata ‘Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini’, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah, atas alasan tiada mekanisme undang-undang yang membolehkan ia dilaksanakan.
Najib, 72, sebelum ini disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022.
Kenyataan tersebut mengundang kecaman Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, yang melabel tindakan Yeo sebagai ‘amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian’.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Umno Puchong Yusof Yassin berkata tindakan memutuskan hubungan itu bermaksud tiada lagi kerjasama politik antara Umno dan Barisan Nasional dengan PH dalam kawasan Parlimen Puchong, serta kawasan DUN Seri Serdang dan Seri Kembangan.
Beliau berkata Umno bahagian itu tidak lagi akan mengadakan mesyuarat bersama, menyelaras atau menganjurkan aktiviti politik, program kemasyarakatan atau kempen bersama. Ia juga tidak akan bekerjasama dalam strategi pilihan raya, perancangan atau operasi dengan PH Puchong.
Bagaimanapun, Ti berkata parti itu tidak seharusnya ‘mengaum seperti harimau di Kuala Lumpur, tetapi mengiau di peringkat bahagian’.
Beliau berkata Asyraf dengan lantang memberi amaran bahawa Umno tidak akan bertolak ansur terhadap apa yang dianggap angkuh dan biadab, serta menuntut tindakan tegas.
“Ini bahasa lawan. Ini gaya pahlawan. Ini raungan politik.
“Jadi persoalannya, selepas mengaum seperti harimau di peringkat nasional, mengapa Umno Puchong hanya mampu mengiau seperti kucing rumah?”