Pengerusi PN Perak, N Sembilan turut lepas jawatan

Pengerusi PN Perak, N Sembilan turut lepas jawatan

Faizal Azumu, Mohamad Hanifah Abu Baker turuti langkah Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pengerusi PN hari ini.

Ahmad Faizal Azum
Faizal Azumu umum letak jawatan sebagai pengerusi PN Perak berkuat kuasa 1 Jan depan.
PETALING JAYA:
Dua lagi pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri melepaskan jawatan petang ini susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan itu.

Menerusi kenyataan ringkas di Facebook, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN Perak berkuat kuasa 1 Jan depan.

“Saya ingin mengambil maklum keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan pengerusi PN serta menghormati bahawa kuasa pelantikan adalah prerogatif pengerusi.

“Dengan ini saya memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai pengerusi PN Perak berkuat kuasa 1 Jan,” kata naib presiden Bersatu itu.

Selain Muhyiddin, Azmin Ali turut meletak jawatan sebagai setiausaha agung gabungan dan Sahruddin Jamal berundur daripada teraju kepimpinan PN Johor awal hari ini.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, yang juga ketua Bersatu negeri, turut mengumumkan pengundurannya daripada jawatan pengerusi PN negeri, berkuat kuasa 1 Jan.

Adun Labu itu berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab serta selaras dengan prinsip menghormati struktur, hierarki dan tata kelola organisasi PN.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Muhyiddin memimpin PN sejak 7 Ogos 2020, ketika gabungan itu didaftarkan secara rasmi.

Afif berundur di Selangor

Dalam pada itu, Setiausaha PN Selangor Afif Bahardin turut mengumumkan pengunduran daripada jawatannya dalam gabungan itu pada peringkat negeri.

“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya selaku Setiausaha PN Selangor adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN Selangor Azmin Ali.

“Maka, saya meletakkan jawatan sebagai setiausaha PN Selangor berkuatkuasa pada 1 Jan 2026,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.