
Sahruddin Jamal, yang meletakkan jawatan pengerusi PN Johor dan dipercayai individu pertama berbuat demikian, berkata ia perkara biasa dalam berorganisasi, malah menuruti langkah Muhyiddin bukan suatu masalah bagi mereka.
“Semua nampak OK sahaja, masih bersama PN. Hanya kepimpinan bertukar. Bila ada kepimpinan baharu nanti, mereka akan melantik orang baharu yang selayaknya,” katanya kepada FMT.
Mohamad Hanifah Abu Baker, yang melepaskan jawatan pengerusi PN Negeri Sembilan berkata peletakan jawatan itu akan memudahkan teraju baharu membuat aturan tersendiri kelak.
“Apabila pengerusi PN nasional letak jawatan, secara rasionalnya segala lantikan turut tergugur atau patut letak jawatan bagi memudahkan pengerusi PN nasional baharu menjalankan fungsi dengan aturan sendiri mengikut perlembagaan parti,” katanya.
Begitu juga halnya bagi Afif Bahardin, yang berundur dari jawatan setiausaha PN Selangor menyusuli Azmin Ali, yang melepaskan jawatan pengerusi negeri.
“Saya dilantik atas bidang kuasa beliau, jadi secara profesional saya perlu juga undur diri bagi laluan kepada kepimpinan baru yang akan dipilih kelak. Itu perkara biasa,” katanya.
Pengunduran Muhyiddin, berkuat kuasa esok, dituruti tidak lama kemudian oleh Sahruddin, Azmin, Hanifah, Ahmad Faizal Azumu (pengerusi PN Perak), dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (pengerusi PN Sarawak).
Peletakan jawatan Muhyiddin ini berlatarkan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Ditanya tentang perancangan akan datang, Sahruddin yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, memaklumkan mereka menunggu arahan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
“Kami bergerak dalam satu parti dan sangat yakin, percaya, serta berpegang teguh pada kepimpinan Muhyiddin,” katanya.
Hanifah turut menyangkal anggapan PN bakal karam. “PN telah diterima rakyat, bukan mudah PN akan karam. Semua parti komponen tahu perkara ini termasuk pihak kerajaan.”
Afif juga membidas dakwaan sama, mengatakan: “Masa depan PN akan ditentukan rakyat di peti undi.”