
Perdana menteri berkata, ia turut membuka lembaran baharu dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra, inklusif dan dihormati di persada global.
Menurutnya, sambutan yang diraikan dalam suasana penuh harmoni itu turut menjadi pemangkin awal kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), selain mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyambut tetamu dari seluruh dunia.
“Detik kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar, termasuk pertunjukan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan, dalam suasana aman dan tertib,” katanya dalam catatan Facebook.
Kempen TMM 2026 membuka tirai secara rasmi menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival – sambutan ambang tahun baharu berskala besar di Pavilion Kuala Lumpur.
Malaysia menyasarkan ketibaan 43 juta pelawat antarabangsa, sejajar aspirasi menjadikan negara destinasi pilihan utama pelancong dunia.