
AirBorneo berkata, perjanjian jual beli bagi pengambilalihan itu ditandatangani antara Malaysia Aviation Group (MAG) dan kerajaan Sarawak pada 12 Feb 2025.
“Berkuat kuasa 1 Jan 2026, AirBorneo akan mengambil alih tanggungjawab perundangan dan operasi penuh MASwings. Semasa fasa peralihan awal ini, penjenamaan MASwings akan diteruskan, sementara AirBorneo melancarkan identiti jenama baharunya secara berperingkat.
“AirBorneo menghargai kerjasama dan sokongan oleh penumpang, rakan kongsi dan pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan ini,” katanya dalam kenyataan.
AirBorneo berkata, pengambilalihan itu menyokong objektif strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh ketersambungan udara di negeri ini dan memastikan tambang yang berpatutan bagi rakyat Sarawak.
“Ini merupakan langkah penting dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi negeri dan menyediakan asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya AirBorneo,” katanya.
“Kerajaan negeri Sarawak ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja, rakan kongsi dan pihak berkepentingan atas sokongan mereka sepanjang proses peralihan ini.”