Malaysia Airlines sambung perkhidmatan terhad ke Doha mulai 2 Julai

Malaysia Airlines sambung perkhidmatan terhad ke Doha mulai 2 Julai

Ia menyusuli pembukaan semula ruang udara Qatar kepada syarikat penerbangan antarabangsa.

malaysia airlines
Malaysia Airlines akan menyambung perkhidmatan ke Doha secara terhad susulan pembukaan ruang udara Qatar. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan Malaysia Airlines akan menyambung perkhidmatan ke Doha secara terhad, mulai 2 Julai susulan pembukaan ruang udara Qatar kepada syarikat penerbangan antarabangsa dan pemulihan operasi secara berperingkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad.

“Pembukaan semula operasi ini menyusuli pengeluaran notis kepada juruterbang (Notam) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Qatar (QCAA), yang mengesahkan kesediaan operasi.

“Perkhidmatan syarikat penerbangan antarabangsa kini sedang disambung semula secara berperingkat, dengan penerbangan awal beroperasi melalui koridor penerbangan khas yang diselaraskan oleh QCAA,” menurut kenyataan.

MAG menyatakan operasi Malaysia Airlines pada peringkat permulaan akan dihadkan kepada satu perkhidmatan harian (penerbangan MH160/161), manakala frekuensi selebihnya (MH164/165 dan MH168/169) akan terus digantung sehingga 24 Okt, tertakluk kepada semakan berterusan.

“Syarikat penerbangan akan terus memantau situasi dengan teliti melalui penilaian risiko yang berterusan dan Notam yang berkaitan sebelum menyambung semula operasi sepenuhnya,” katanya.

MAG turut memaklumkan bahawa Amal oleh Malaysia Airlines, iaitu cabang pengurusan haji dan umrah, sedang mengendalikan penerbangan ke Jeddah dan Madinah mengikut jadual, dengan 110 penerbangan merentasi dua fasa yang membawa 15,620 jemaah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.