
Afnan berkata pendirian PAS jelas dan tetap menyokong kerajaan Perlis pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu, sebagaimana dijelaskan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebelum ini.
“Pendirian menyokong kerajaan negeri adalah kerana menjunjung konsep Raja Berperlembagaan dan menghormati kebijaksanaan tuanku (Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail).
“Sebab itu semua enam wakil rakyat PAS hadir ketika majlis angkat sumpah menteri besar baharu,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak di media sosial bahawa PAS dilihat seperti berkonfrontasi dengan istana selepas buat keputusan untuk tidak menganggotai exco di Perlis.
Afnan menjelaskan walaupun tanpa PAS dalam jemaah exco, menteri besar tetap boleh menjalankan urusan pentadbiran kerajaan negeri walaupun hanya melantik empat exco daripada Bersatu.
“Itu jumlah minimum. Urusan kerajaan boleh berjalan. Tidak tergugat walaupun tanpa exco daripada PAS,” katanya.
Pada Selasa lalu, Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pentadbiran dengan barisan lima exco, susulan keengganan PAS memegang jawatan dalam pentadbiran negeri.
Beliau berkata, Bersatu mempunyai jumlah Adun yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, yang menetapkan keperluan minimum empat exco, tidak termasuk menteri besar.
Pada hari yang sama, Takiyuddin memaklumkan bahawa exco parti itu akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti terhadap Shukri Ramli, yang baru-baru ini meletak jawatan menteri besar.
Beliau menegaskan, PAS juga tidak akan menerima sebarang jawatan exco dalam barisan kepimpinan baharu Abu Bakar dari Bersatu.
Abu Bakar dilantik ketika berlakunya krisis politik di negeri itu yang menyaksikan lapan Adun PN mengemukakan akuan berkanun kepada Raja Perlis untuk menarik balik sokongan terhadap Shukri, termasuk tiga daripada PAS yang keahlian mereka kemudiannya dihentikan.