
Lelaki 20 tahun yang memandu Proton Wira itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang lelaki 15 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sabak Bernam.
Ketua Polis Sabak Bernam, Md Yusof Ahmad, berkata nahas dipercayai berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari Sungai Haji Dorani menghala Jalan Parit 1 Bagan Terap.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan dan terjunam ke dalam parit berkenaan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, identiti penuh dua beradik itu masih dalam proses pengesahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Siti Atikah Md Ali di talian 013-332 8212.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.40 petang.
Setiba di lokasi, beliau berkata, mangsa 15 tahun sudah dikeluarkan orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dirawat petugas Kementerian Kesihatan, manakala operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan untuk mencari mangsa 20 tahun yang dilaporkan terperangkap dalam kereta.
Katanya, mangsa kedua ditemui di kawasan perangkap sampah pada jarak kira-kira 150m dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia pada 7.10 malam.
Menurutnya, mangsa 15 tahun yang dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut kemudiannya disahkan meninggal dunia.