Operasi roboh di Kg Chubadak Tambahan lancar, tiada bantahan

Operasi roboh di Kg Chubadak Tambahan lancar, tiada bantahan

Polis berkata kebanyakan penghuni akur dengan operasi itu, kecuali 18 penghuni di Zon 4 yang melantik peguam bagi tindakan lanjut.

Kerja meroboh 68 kediaman di Kampung Chubadak Tambahan berjalan lancar hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Operasi perobohan 68 kediaman di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul, di sini berjalan lancar tanpa sebarang bantahan atau provokasi daripada penduduk.

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata 206 pegawai dan anggota polis ditugaskan membantu melaksanakan perintah mahkamah berkaitan perobohan kediaman serta binaan di tanah itu.

“Penugasan ini bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara sepanjang proses pelaksanaan perintah mahkamah ini,” katanya di lokasi operasi hari ini.

Beliau berkata, kekuatan polis dibahagikan kepada enam zon penugasan mengikut kelompok rumah yang dikenal pasti untuk dirobohkan dan setakat ini tiada sebarang bantahan atau provokasi dilaporkan.

Mengulas notis pengosongan, katanya, writ mahkamah diserahkan kepada penduduk 5 Dis lalu, manakala notis pengosongan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh writ disampaikan 26 Dis lalu.

“Hari ini, tindakan perobohan (notis pengosongan) terhadap premis terlibat dilaksanakan.”

Beliau berkata, kebanyakan penghuni akur dengan operasi dijalankan kecuali 18 penghuni di Zon 4 yang melantik peguam bagi tindakan lanjut.

“Ini membabitkan 18 kediaman dan perkara berkaitan tindakan lanjut akan diputuskan pihak mahkamah hari ini.”

Menurutnya, operasi itu turut melibatkan kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan Angkatan Pertahanan Awam, selain pemeriksaan serta ‘pembersihan’ oleh Jabatan Imigresen dua hari lalu.

Beliau menjangkakan operasi perobohan itu selesai awal petang ini, sambil menegaskan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu adalah langkah penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang pembinaan dan pendudukan tidak sah di kawasan terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan tindakan tegas terhadap binaan haram, premis tanpa kebenaran serta pencerobohan kawasan melanggar undang-undang akan dilaksanakan menerusi perintah penghakiman penyerahan milikan kosong di Kampung Chubadak Tambahan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.