
Pemimpin itu, yang enggan dinamakan, berkata satu syarat ialah tidak membincangkan penarikan diri daripada kerajaan perpaduan. Syarat kedua ialah tidak akan ada sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Sumber itu memberitahu FMT bahawa hanya dengan berasaskan jaminan tersebut barulah Presiden Umno Zahid Hamidi bersetuju untuk program itu diteruskan.
Sumber berkenaan berkata perkara-perkara yang dibangkitkan Akmal pada konvensyen itu, seperti Umno keluar daripada kerajaan, menjalin semula kerjasama dengan PAS atau mengubah hala tuju politik, tidak pernah dibincangkan dengan Zahid.
“Beliau (Zahid) tidak menyokong, tidak meluluskan, malah tidak mempertimbangkan idea-idea sedemikian,” kata sumber itu.
Zahid juga tidak mengeluarkan sebarang arahan atau perintah kepada sayap Pemuda untuk membincangkan isu meninggalkan kerajaan.
Ketika membuka konvensyen itu, Akmal mendakwa perhimpunan berkenaan mendapat kelulusan Zahid. Beliau juga mendakwa Zahid memberitahunya bahawa beliau akan menyokong gesaan akar umbi untuk keluar daripada kerajaan perpaduan.
Akmal berkata demikian sebagai menjawab dakwaan bahawa beliau tidak mendapat restu Zahid untuk mengadakan konvensyen tersebut dan bertindak bertentangan dengan kepimpinan parti.
Beliau dilaporkan berkata: “Saya ingin jelaskan — Zahid adalah orang pertama yang bersetuju dengan konvensyen ini. Saya beritahu presiden, kalau Umno tarik diri daripada kerajaan perpaduan, orang pertama akan kena adalah presiden.
“Jawapan beliau sangat jelas, jika itu permintaan akar umbi demi agama dan bangsa, beliau sanggup lawan habis-habisan.”
Sementara itu, seorang lagi sumber dalam Umno berkata Zahid tidak pernah memberi sebarang petunjuk bahawa Umno bersedia mengambil langkah drastik untuk keluar daripada kerajaan perpaduan.
Sumber itu yang enggan dinamakan berkata berkata walaupun Zahid memberi lampu hijau kepada sayap Pemuda untuk mengadakan konvensyen tersebut, ia tidak harus dianggap sebagai sokongan terhadap resolusi yang dibuat, khususnya gesaan agar parti meninggalkan kerajaan.
“Ya, presiden meluluskan konvensyen itu, tetapi bukan resolusi yang terhasil daripadanya,” kata sumber itu. Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai sama ada keluar daripada kerajaan akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi.
“Umno tidak berhasrat untuk menjadi parti pembangkang buat masa ini. Keutamaan adalah rakyat.”
Sumber itu turut mengesahkan bahawa Zahid tidak menyokong sebarang cadangan supaya parti keluar daripada kerajaan.
FMT menghubungi pembantu Zahid untuk mendapatkan komen.
Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Kadir berkata sebarang cadangan yang dibuat pada konvensyen Pemuda Umno itu, termasuk berkaitan kedudukan parti dalam kerajaan perpaduan, perlu diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno.