PM, isteri doa Dr M segera sembuh

PM, isteri doa Dr M segera sembuh

Dr Mahathir Mohamad dirawat di IJN selepas terjatuh di rumahnya pagi tadi.

DR-M-Mahathir-Anwar-Ibrahim
Anwar Ibrahim mendoakan kesihatan dan kesembuhan segera Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan kesembuhan segera Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya dan Azizah mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, Insya-Allah,” katanya di Facebook.

Mahathir, perdana menteri keempat dan ketujuh itu dimasukkan ke IJN pagi tadi untuk pemerhatian, selepas terjatuh di kediamannya.

Pembantunya, Suffi Yusoff, berkata Mahathir difahamkan terjatuh ketika bergerak dari satu bahagian balkoni ke ruang tamu.

Beliau berkata pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN oleh ambulans dan dilaporkan dalam keadaan sedar.

Pada 13 Julai tahun lalu, Mahathir dimasukkan ke IJN selepas beliau mengalami keletihan ketika menghadiri sebuah acara di Putrajaya sempena ulang tahun kelahirannya ke-100 serta ulang tahun ke-99 isterinya, Dr Siti Hasmah Ali.

Beliau meninggalkan acara itu lebih awal selepas menyertai beberapa aktiviti, termasuk berbasikal. Mahathir dibenarkan keluar IJN pada hari sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.