
Tetapi, menteri kemajuan desa dan wilayah itu ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu kementeriannya menegaskan, pendekatan itu tidak bermaksud mengkomersialkan bantuan.
“Ia menuntut kecekapan, keputusan yang pantas, peranan dan garis masa jelas supaya apa yang kita lakukan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial, tetapi menghasilkan a ‘tangible outcome’ yang boleh diukur dan memberi nilai langsung kepada rakyat.”
Beliau berkata, tanpa perubahan cara berfikir dan sistem kerja, usaha pembangunan hanya sama seperti rutin.
“Routine will not lead to transformation. Kalau cara fikir kita sama, hasilnya juga akan sama.”
Menurutnya, pendekatan ‘bottom-up’ harus menjadi teras kerja Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, dengan dasar tidak digubal dari atas semata-mata, tetapi berakar daripada realiti serta keperluan sebenar rakyat desa yang merasai kesan dasar secara langsung.
“Apabila suara rakyat desa didengar, mereka bukan lagi hanya penerima manfaat, tetapi rakan strategik kerajaan dalam menjayakan pembangunan.”
Beliau berkata, kerajaan juga mahu beralih daripada menilai ‘output’ kepada ‘outcome’ kerana kejayaan sebenar bukan diukur melalui bilangan program atau jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya perubahan nyata dalam kehidupan rakyat desa.
“Soalan yang mesti kita jawab ialah adakah pendapatan mereka meningkat, adakah bantuan menjadikan mereka lebih mandiri dan adakah intervensi kerajaan menyelesaikan masalah sebenar di lapangan?”
Katanya, kerajaan juga merancang mewujudkan platform pemikiran strategik desa sebagai pusat penyelidikan dan rujukan dasar, selain mendokumentasikan pencapaian desa melalui jurnal, laporan serta penerbitan buku.
“Apa yang dituntut ialah keberanian untuk memperhalusi keutamaan, memperkemas pelaksanaan dan memastikan setiap intervensi benar-benar membentuk masa depan masyarakat desa.”
Bagi hala tuju 2026, beliau berkata, KKDW akan memfokuskan 5P (People, Place, Productivity, Prosperity dan Prophetic), meliputi mobiliti sosial, kluster pertumbuhan desa, peningkatan produktiviti, kesejahteraan serta nilai kepimpinan berteraskan contoh Rasulullah.
Zahid yakin dengan hala tuju jelas dan pelaksanaan berdisiplin, pembangunan desa bukan sahaja akan terzahir melalui angka dalam laporan, tetapi menerusi kehidupan lebih bermaruah.
“Desa bukan beban negara, tetapi aset strategik Malaysia,” katanya.