
Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam kenyataan memaklumkan, pendirian itu diambil susulan isu tular dikaitkan dengan budaya tidak sihat dalam tentera sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif masyarakat.
Menurut kenyataan itu, TDM akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aduan diterima dan tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan serta undang-undang sedia ada jika terbukti bersalah.
“Memandang ke hadapan, TDM akan mengadakan penguatkuasaan berterusan melalui pemerintah di semua pasukan, formasi dan pusat latihan bagi memberikan peringatan dari semasa ke semasa.
“Langkah itu termasuk melaksanakan pemantauan berterusan bagi membendung sebarang isu integriti dan aktiviti tidak bermoral dalam kalangan warganya,” menurut kenyataan.
Sebagai langkah pencegahan, TDM turut melaksanakan pemerkasaan pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika di semua peringkat formasi selain mempergiat aktiviti keagamaan dan kerohanian bagi memupuk nilai profesional serta jati diri warga yang berdisiplin dan berintegriti.
Menurut kenyataan itu, kepimpinan TDM kekal komited untuk memastikan institusi berkenaan terus diyakini, dihormati dan disokong oleh rakyat menerusi amalan integriti dan profesionalisme yang tinggi demi keselamatan dan kedaulatan negara.
Isnin lalu, Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera, yang tular di media sosial sejak Ahad lalu.