
Kumpulan anti-rasuah itu memetik kes baru-baru ini di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM900 juta cukai tidak berbayar daripada sebuah syarikat merangkumi penalti RM600 juta dan kompaun RM300 juta, tanpa sebarang pertuduhan jenayah difailkan.
Menurut TI-M, penyelesaian sedemikian menjejaskan kepercayaan orang awam, melemahkan pencegahan, dan menghakis integriti institusi penguatkuasaan serta keadilan.
“Walaupun TI-M mengakui pemulihan aset mengembalikan dana kepada kantung awam, ia bukan, dan tidak boleh sesekali dianggap sebagai pengganti kebertanggungjawaban,” menurut kenyataan.
NGO itu memberi amaran mewajarkan penyelesaian atas alasan ‘pragmatisme’ atau kesukaran pembuktian berisiko menghantar isyarat bahawa golongan kaya atau berpengaruh boleh mengelak daripada liabiliti jenayah.
“Jika dibiarkan tanpa kawalan, pemikiran ini akan menginstitusikan budaya ‘bayar untuk selesai’ yang mengakis kedaulatan undang-undang,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata ada satu syarikat yang tidak membayar cukai dikenakan tindakan membayar penalti RM600 juta manakala kompaun pula RM300 juta.
Azam berkata beliau tidak boleh menamakan syarikat berkenaan, namun SPRM dan polis berjaya mendapatkan semula hasil cukai tersebut.
TI-M menggesa agar reformasi segera dilaksanakan, termasuk pendedahan mengenai individu atau syarikat yang terlibat dalam pemulihan aset utama, serta garis panduan kebangsaan yang jelas bagi mengawal selia kompaun dan pelucuthakan.
“Penyelesaian kewangan tidak boleh menjadi titik penamat bagi kes rasuah,” tegas kumpulan anti-rasuah itu, mengulangi tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.