
“Saya sebagai ketua (kerajaan) negeri akan menunggu surat secara rasmi untuk pertimbangkan sama ada saya menerima ataupun tidak menerima peletakan jawatan itu, tertakluk kepada perbincangan akan dibuat,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda Umno.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menghormati pendirian Akmal sebagai ketua Pemuda Umno dan akan meneliti kaedah terbaik menguruskan perkara itu dalam masa terdekat.
Terdahulu, Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco Melaka berkuat kuasa minggu depan.
Katanya, meskipun beliau lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama dengan DAP, tetapi tetap menghormati keputusan parti untuk kekal dalam kerajaan perpaduan.
Tegasnya, peletakan jawatan itu bukan kerana pangkat atau kedudukan, sebaliknya bagi mempertahankan suara akar umbi dan maruah politiknya.