
Sumber arif dengan proses dan fungsi badan kehakiman berkata, sebagai langkah pertama, Wan Ahmad Farid boleh merujuk hakim ingkar kepada Jawatankuasa Etika Hakim (JEC), memandangkan kegagalan menyediakan alasan penghakiman bertulis kepada pihak litigan mungkin melanggar etika kehakiman.
Seksyen 7 Kod Etika Hakim mewajibkan hakim menyampaikan penghakiman bertulis dengan segera. Di bawah kod itu, JEC diberi kuasa menggantung hakim sehingga setahun, jika didapati bersalah melanggar peraturan.
Sumber enggan dinamakan memberitahu FMT, hakim boleh disingkirkan Yang di-Pertuan Agong atas alasan ketidakupayaan atau salah laku berdasarkan laporan tribunal di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu membolehkan ketua hakim mencadangkan tribunal ditubuhkan.
“Tiba masanya mengambil tindakan tegas. Hakim diheret ke JEC atau tribunal,” kata sumber itu.
Wan Ahmad Farid ketika berucap pada pembukaan tahun perundangan 2026 Isnin lalu, mengarahkan semua hakim mengemukakan alasan penghakiman bertulis mereka dalam tempoh lapan minggu yang ditetapkan.
FMT difahamkan beberapa hakim Mahkamah Tinggi belum menghantar sejumlah besar penghakiman, walaupun pihak litigan berulang kali menulis untuk memohon alasan itu dikemukakan sebagai sebahagian proses rayuan.
Tetapi, menurut sumber, langkah meminta hakim terbabit berundur mungkin berdepan tentangan, khasnya kerana gaji bulanan mereka dinaikkan 30% bermula tahun ini.
“Sebagai permulaan, beliau (ketua hakim) boleh memujuk mereka yang berprestasi rendah berundur. Terdapat duluan membabitkan dua hakim yang diminta bersara awal ketika Zaki Azmi menerajui badan kehakiman.”
Peranan JAC
Peguam Rafique Rashid Ali berkata, masalah ini tidak akan timbul jika Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) menamakan calon mempunyai keupayaan dan kapasiti segera melaksanakan keadilan.
“Hakim yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah atas kesalahan membawa hukuman mati atau penjara tempoh lama perlu memastikan alasan penghakiman disampaikan secepat mungkin kerana kebebasan seseorang dipertaruhkan.”
Jelasnya, tanpa alasan penghakiman bertulis, pesalah akan terus merengkok dalam penjara tanpa kepastian kerana Mahkamah Rayuan hanya akan mendengar rayuan selepas penghakiman bertulis disediakan. Keadaan ini bertentangan prinsip “keadilan ditangguhkan sama seperti keadilan dinafikan”.
“Penghakiman yang ditulis sejurus selepas perbicaraan akan lebih berkualiti kerana fakta kes masih segar dalam ingatan hakim.”
Rafique menyeru hakim mencontohi etika kerja Wan Ahmad Farid yang lazimnya menyediakan alasan penghakiman pada hari sama keputusan diumumkan.
Hak Perlembagaan untuk penghakiman kukuh
Peguam R Kengadharan berkata, alasan penghakiman bertulis yang dikemukakan segera dengan alasan baik boleh meyakinkan pihak litigan tidak memfailkan rayuan, tetapi keadaan mungkin berbeza jika ia disampaikan berbulan-bulan selepas perbicaraan.
“Ia hak berperlembagaan setiap pihak litigan untuk mendapat penghakiman disertakan alasan kerana ini menunjukkan akauntabiliti kehakiman.”
Cekap tetapi terlepas pandang untuk kenaikan pangkat?
Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, timbul kebimbangan dalam kalangan hakim berkelayakan yang terlepas pandang untuk kenaikan pangkat oleh JAC.
“Ada yang tidak dinaikkan pangkat walaupun memberi penghakiman cemerlang dan JAC dilihat mengabaikan faktor ini.”
Katanya, Seksyen 23(3) Akta JAC menyatakan hakim atau pesuruhjaya kehakiman tidak boleh dilantik jika beliau mempunyai tiga atau lebih penghakiman tertunggak yang lewat melebihi 60 hari dari tarikh ditetapkan.