Tak adil tuduh hanya Mydin dapat manfaat daripada SARA, kata Ameer

Tak adil tuduh hanya Mydin dapat manfaat daripada SARA, kata Ameer

Pengarah Urusan Mydin itu berkata tuduhan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong itu satu sangkaan jahat.

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata objektif utama kerajaan melalui program SARA berkemungkinan untuk menggalakkan seramai mungkin peruncit menyertai sistem tersebut.
PETALING JAYA:
Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, berkata adalah tidak adil untuk menuduh rangkaian pasar raya besar itu sebagai perniagaan yang mendapat manfaat daripada program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau menjawab kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat yang mendakwa Mydin mendapat keuntungan besar kerana ramai ‘penerima SARA mungkin akan berbelanja lebih daripada RM100 dan berbelanja di pasar raya itu’.

“Jadi tauke Mydin bergitu gembira sekali,” katanya, sambil berseloroh bahawa perniagaan berjalan begitu baik sehingga Ameer sering menghasilkan video menari di TikTok.

Bagaimanapun, Ameer berkata kenyataan Khoo itu satu sangkaan jahat terhadap syarikat tersebut.

“Saya sendiri sering cakap kerajaan perlu tolong peniaga kecil. Jika tak beri kepada Mydin, beri kepada peniaga kecil pun tak mengapa,” katanya dalam satu video di X.

Menurut Ameer, objektif utama kerajaan melalui program SARA berkemungkinan untuk menggalakkan seramai mungkin peruncit menyertai sistem tersebut.

Beliau juga mengakui kemungkinan bahawa pasar raya besar akhirnya boleh dikecualikan daripada program berkenaan.

“Siapa tahu, suatu hari nanti kerajaan mungkin berkata ‘minta maaf, pasar raya besar yang berniaga berbilion ini tak perlu dah (sertai lagi),” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan program bantuan SARA, sambil berkata ia telah membantu orang ramai serta para peniaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.