‘Jangan jadi MB Perlis tersingkat’, Fadhli beritahu Abu Bakar

‘Jangan jadi MB Perlis tersingkat’, Fadhli beritahu Abu Bakar

Ahmad Fadhli Shaari gesa Abu Bakar Hamzah tidak campur tangan urusan parti itu dalam isu tiga Adun dilucut keahlian.

Fadhli Shaari minta Abu Bakar Hamzah fokus kepada pentadbiran di Perlis tanpa campur tangan urusan parti.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari meminta Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah supaya tidak campur tangan urusan parti itu.

Teguran terhadap ketua Bersatu Perlis itu susulan cadangannya supaya tiga bekas Adun PAS digugurkan keahlian parti dikekalkan sebagai wakil rakyat walaupun berstatus Bebas.

Mereka adalah tu Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).

“Tak perlu campur tangan urusan parti lain. Tiga bekas Adun PAS itu terhenti keahlian kerana langgar disiplin yang termaktub jelas dalam Perlembagaan parti.

“PAS tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin seperti ini. MB cukup jaga negeri.

“Pastikan tidak jadi MB Perlis tersingkat dalam sejarah, cukup dah tu,” katanya di Facebook sambil mengingatkan parti itu juga boleh bermain politik serta berperang.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada kenyataan Abu Bakar, dua tahun lalu yang mengisytihar perang terhadap Shukri Ramli ketika Adun Sanglang berkenaan menjadi menteri besar kerana tidak dilantik exco kerajaan negeri.

“Tapi itulah, Adun PAS ni bukan macam MB dan parti kami bukan macam parti MB. Rakyat lebih utama,” kata Fadhli.

Semalam, Abu Bakar berkata Ridzuan, Fakhrul dan Saad masih memegang mandat untuk menjaga kebajikan pengundi di kawasan masing-masing.

Menurutnya, langkah untuk mengekalkan mereka sebagai Adun dapat mewujudkan kestabilan politik dan menyelesaikan saman dihadapi Speaker DUN Rus’sele Eizan.

Tiga bekas Adun PAS itu memfailkan semakan kehakiman terhadap Rus’sele di Mahkamah Tinggi Kangar selepas kerusi mereka diisytiharkan kosong.

Kerusi-kerusi itu diisytiharkan kosong susulan tindakan PAS menamatkan keahlian mereka selepas mereka didakwa menarik balik sokongan Shukri ketika krisis politik tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.