‘Bukan julang Najib’, tapi amaran buat kerajaan, kata Amira

‘Bukan julang Najib’, tapi amaran buat kerajaan, kata Amira

Pemangku presiden Muda berkata kenyataan orang Cina 'rindu zaman Najib' didengarnya daripada 'aunty dan uncle' jadi tamparan buat kerajaan kerana rakyat tidak benar rasai perubahan ketara.

Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya
Amira Aisya Abdul Aziz yang juga Adun Puteri Wangsa, berkata beliau bukan menyeru rakyat untuk kembali ke zaman Najib Razak.
PETALING JAYA:
Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz menjelaskan kenyataan mengenai sentimen masyarakat Cina baru-baru ini bukan bertujuan menjulang era Najib Razak, sebaliknya ‘isyarat amaran’ terhadap kegagalan kerajaan melaksanakan reformasi ketika ini.

Adun Puteri Wangsa itu, berkata perkara dibangkitkan merupakan naratif sebenar didengari daripada ‘aunty dan uncle’ di kawasannya.

“Ia bukan bertujuan menyeru rakyat kembali ke zaman Najib mahupun menjulang era tersebut. Tetapi, satu amaran kepada kerajaan sekarang bahawa rakyat tidak benar-benar merasai perubahan ketara.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan tidak boleh masih bangga dengan laungan reformasi tanpa benar-benar melaksanakan tuntutan reformasi,” katanya kepada FMT.

Amira turut memetik beberapa isu yang dilihat sebagai kegagalan integriti kerajaan, termasuk isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) dan pelanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang pernah ditentang Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dulu.

“Kata mahu lawan rasuah, tetapi DNAA kiri kanan. Malah, peruntukan kepada pembangkang masih belum ada padahal dahulu PH yang mendesak peruntukan saksama.

“Di mana penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC)? Pemisahan kuasa peguam negara (AG) dan pendakwa raya (DPP) juga masih belum terlaksana,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai situasi politik di Sabah, di mana pimpinan DAP sendiri mula menggesa perdana menteri agar segera melaksanakan reformasi.

“Maksudnya apa? Maksudnya pimpinan DAP sendiri merasakan reformasi itu tidak ada. Jadi, jangan takut-takutkan orang bila mereka sebut tidak ada perubahan ketara antara kerajaan dulu dan sekarang,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad membidas kenyataan Amira menerusi satu audio siar yang mendakwa wujud sentimen dalam kalangan segelintir pengundi Cina merindui era pentadbiran Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.