Sanusi nafi ‘serang’ mursyidul am, sekadar muhasabah dalaman parti

Sanusi nafi ‘serang’ mursyidul am, sekadar muhasabah dalaman parti

Pengarah pilihan raya PAS berkata, rakaman video tular tak gambar keseluruhan konteks ceramah.

Sanusi Nor
Sanusi Nor berkata, kenyataan dibuat dalam konteks program dalaman parti bertujuan sebagai sesi muhasabah dan pengukuhan kefahaman ahli terhadap perjuangan PAS.
PETALING JAYA:
Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor menafikan dakwaan beliau menyerang Mursyidul Am PAS Hashim Jasin secara terbuka berikutan video ceramah yang tular di media sosial.

Sanusi berkata, kenyataan tersebut dibuat dalam konteks program dalaman parti yang bertujuan sebagai sesi muhasabah dan pengukuhan kefahaman ahli terhadap perjuangan PAS.

“Tak ada serangan kepada sesiapa, hanya muhasabah untuk diri, ahli dan pimpinan PAS,” katanya kepada FMT.

Sanusi berkata demikian mengulas hantaran media sosial yang menyebarkan rakaman video tersebut, mendakwa beliau menyerang Hashim secara terbuka dalam ceramah.

Dalam rakaman video tersebut, Sanusi didakwa berkata: “Siapa yang duduk dalam PAS, buat perkara-perkara yang merugikan PAS, mendatangkan kerosakan kepada PAS, mengambil tindakan-tindakan politik, yang walaupun tidak dikatakan salah oleh perlembagaan (parti), dia bukan ahli jemaah (PAS) … dia bukan sebahagian daripada kita (ahli PAS).”

Dalam pada itu, menteri besar Kedah itu menegaskan, rakaman video yang tular itu diambil secara terpilih dan tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbincangan yang dibuat.

Tambahnya, program yang dikenali sebagai Liqa’ ul-Fikri itu diadakan bagi membincangkan isu semasa serta tarbiah teras perjuangan parti kepada ahli-ahli PAS.

“(Program) tidak terbuka untuk umum. Kena hadir dengar dari awal sampai habis, baru terpakai (konteks),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.