
Tetapi, beliau turut menyarankan PAS memohon maaf atas tuduhan terhadap Bersatu berhubung kemelut menteri besar Perlis.
“Berlaku jujur dalam isu Perlis. Jangan sembunyikan kebenaran dan menegakkan kebatilan.
“Jangan korbankan agenda penyatuan dan perjuangan ummah, hubungan antara parti gabungan dan keharmonian hubungan dengan istana semata-mata hendak mempertahankan seorang individu,” katanya di Facebook.
Kemelut di Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu mendorong parti Islam itu mendakwa ia dikhianati sekutunya.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berulang kali menafikan partinya memainkan peranan dalam kemelut itu.
Semalam, Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman, menyeru Bersatu dan PAS melaksanakan ‘gencatan senjata‘ sementara menunggu mesyuarat segera Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
Ia susulan kenyataan Tun Faisal dan Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, baru-baru ini berhubung jawatan pengerusi PN yang menjadi subjek pertikaian Bersatu dan PAS sejak Muhyiddin melepaskan jawatan itu.
Baru-baru ini, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan itu, yang dinafikan pemimpin PAS.
Tun Faisal berkata, seorang pemimpin PAS menghubunginya bulan lalu untuk mencari jalan memulihkan keharmonian antara dua komponen PN itu.
“Saya maklumkan dia, sebenarnya mudah sahaja, boleh dimulakan dengan permintaan maaf. Saya cadangkan kepada dia, mungkin boleh ditarik tuduhan Bersatu mengkhianati PAS dalam isu Perlis, dan bagus juga kalau ada permohonan maaf,” katanya.
Katanya, sejumlah ‘garisan merah’ dilanggar dan ada perkara yang ‘menuntut keadilan dan sejumlah janji perlu dikotakan’.
“Perkara ini perlu diuruskan dengan baik, sempadan dan garisan merah yang baharu perlu ditetapkan semula dan perjanjian baharu perlu dibuat. Jika tidak, di masa depan, perkara-perkara ini akan berbangkit kembali,” katanya.