
Sharveen Chetty, 48, berdepan dua tuduhan merogol wanita itu di kawasan belukar di luar stesen MRT Little India, serta satu tuduhan menyamar sebagai penjawat awam, lapor The Straits Times.
Tertuduh merupakan kakitangan operator pengangkutan SBS Transit ketika kejadian didakwa berlaku pada 11 Julai 2022.
Mahkamah Tinggi Singapura diberitahu, Chetty terserempak dengan sekumpulan pekerja asing, termasuk mangsa yang ketika itu berusia 35 tahun serta teman lelakinya, yang berkumpul di kawasan padang rumput, ketika melakukan rondaan berhampiran stesen MRT tersebut kira-kira 8 malam.
Menurut pihak pendakwaan, Chetty menghampiri kumpulan itu dan menyamar sebagai polis untuk memeriksa dokumen pengenalan diri mereka.
Apabila Chetty meminta dokumen mangsa, wanita itu menyerahkan surat kelulusan permohonan pekerja asing daripada Kementerian Tenaga Manusia Singapura, selain menyerahkan telefon bimbitnya atas arahan tertuduh.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Chetty kemudiannya mengarahkan wanita itu mengikutnya, manakala yang lain diarah untuk terus kekal di situ.
Dia didakwa membawa mangsa ke kawasan belukar dan menciumnya selepas memastikan tiada orang lain di kawasan berhampiran.
Menurut pihak pendakwaan, mangsa pada mulanya cuba melawan, namun akhirnya terpaksa menurut selepas Chetty mengugut untuk menimbulkan masalah berhubung status pekerjaan mangsa dan rakan-rakannya di Singapura.
Chetty turut didakwa memaksa wanita itu melakukan seks oral sebelum merogolnya.
Timbalan Pendakwa Raya Marcus Foo berkata, saksi-saksi kes termasuk seorang doktor yang memeriksa mangsa sehari selepas kejadian, serta penganalisis Pihak Berkuasa Sains Kesihatan yang akan memberi keterangan mengenai penemuan DNA Chetty pada pakaian dan tubuh mangsa.