
Ketua Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata pihak yang membuat dakwaan itu sepatutnya mengemukakan bukti, bukan mengeluarkan kenyataan tidak tepat sedangkan majoriti bahagian kekal menyokong Muhyiddin.
“Mereka sibuk dakwa Muhyiddin hilang kepercayaan, saya nak tanya apakah bahagian beliau sendiri sudah kuat untuk menang pilihan raya.
“Sepatutnya, kita dalam Bersatu perlu bersatu hati, kena kuatkan bahagian masing-masing dan kuatkan parti. Saya menafikan tuduhan itu dan saya boleh katakan lebih 17 bahagian kekal bersama Tan Sri presiden,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Ketua Bersatu Tanjung Piai, Musa Khamis, mendakwa mewakili 14 ketua bahagian mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin susulan kegagalan menguruskan krisis dalaman secara efektif serta penyalahgunaan prosedur disiplin terhadap pimpinan utama parti.
Sementara itu, Sahruddin yakin kemelut Bersatu dapat diselesaikan sebelum PRU16 dan PRN Johor mengikut perlembagaan termaktub dalam parti.
“Siapa langgar perlembagaan selayaknya dan sewajarnya dipecat. Kita kena faham bahawa PRU, PRN semakin hampir, patut fokus kuatkan bahagian masing-masing, perlu taat kepada pucuk pimpinan.
“Adapun rasa tak puas hati dengan barisan kepimpinan, tak perlu gelojoh…sampai masa barisan kepimpinan akan bertukar juga,” katanya.