
Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) itu berkata sebarang persoalan berkaitan pematuhan undang-undang membabitkan individu mengetuai institusi membanteras rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh dipandang ringan.
“Sekiranya benar pemilikan saham melebihi had ditetapkan bagi penjawat awam atau wujud ketidakpatuhan kepada garis panduan perkhidmatan, saya menggesa ketua pesuruhjaya SPRM letak jawatan.
“SPRM institusi bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan rakyat.
“Integriti kepimpinannya mesti berada pada tahap tertinggi bukan sahaja bebas daripada salah laku, tetapi juga bebas daripada sebarang persepsi meragukan,” kata pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu dalam kenyataan.
Semalam, Azam dilaporkan berkata pegangan saham bernilai RM800,000 miliknya dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibeli tahun lalu dan dilupuskan pada tahun sama.
Menurutnya, saham itu juga diisytiharkan mengikut saluran rasmi serta pengisytiharan termasuk sumber pendapatan dibuat menerusi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Sebelum ini Bloomberg melaporkan pegangan saham Azam didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Feb tahun lalu dan namanya masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Berdasarkan harga saham syarikat pada penutupan dagangan Isnin, pegangan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000.
Azam turut menyifatkan laporan mempersoalkan urus niaga itu sebagai berniat jahat dan mengelirukan serta mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang susulan laporan berkenaan.