Henti fitnah atau jumpa lagi di mahkamah, Kok beritahu Jamal

Henti fitnah atau jumpa lagi di mahkamah, Kok beritahu Jamal

Teresa Kok beri amaran untuk ambil tindakan hina mahkamah sekiranya Jamal Yunos terus buat kenyataan yang langgar injunksi Mahkamah.

teresa kok jamal yunos
Teresa Kok berharap berharap Jamal Yunos bermuhasabah, menghentikan sindiran berunsur fitnah, dan bertindak secara bertanggungjawab pada masa hadapan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok memberi amaran bahawa beliau akan memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos, jika beliau terus membuat kenyataan berunsur fitnah yang melanggar injunksi Mahkamah Tinggi.

Kok berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang yang perlu, sekiranya kenyataan seperti itu diteruskan.

“Ini bukanlah tindakan yang saya ambil ringan, namun ia mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya tingkah laku tidak bertanggungjawab ini berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kok berkata, terdapat perintah injunksi Mahkamah Tinggi yang berkuat kuasa dan pengulangan atau penerbitan semula kenyataan berunsur fitnah adalah satu perkara yang serius.

“Perintah mahkamah bukan sesuatu yang boleh diabaikan, dan tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang,” katanya.

Kok menyaman Jamal atas dakwaan fitnah pada 2017 selepas menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor di bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas kerajaan negeri.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jamal membayar lebih RM300,000 kepada Kok sebagai ganti rugi, bersama kos.

Jamal mendepositkan RM300,000 ke dalam akaun pemegang amanah sementara menunggu rayuannya, namun RM66,061.65 yang merangkumi kos dan faedah masih belum dibayar. Kok kemudiannya memfailkan writ penyitaan bagi mendapatkan baki tersebut.

Semalam, Jamal melelong selipar dan tuala yang dipakainya semasa protes pada 2016 untuk mengumpul dana bagi menjelaskan baki itu.

Beliau juga mencadangkan agar Kok mempertimbangkan untuk memulakan penternakan babi secara kecil-kecilan ‘jika rumahnya tidak terletak di Selangor’.

Kok berkata beliau memilih untuk bersabar dan tidak membalas setiap provokasi atau kenyataan tidak bertanggungjawab, namun menyifatkan kenyataan terbaharu Jamal itu sebagai kasar dan tidak bermoral serta satu cubaan memperlekeh bayaran diperintahkan mahkamah.

“Menjadikan pematuhan terhadap keputusan mahkamah sebagai sindiran bukan sahaja menghina, malah mencerminkan sikap tidak menghormati asas kesopanan dan proses kehakiman,” katanya.

Beliau juga menyatakan rasa kesal kerana Jamal terus memprovokasi dan berkeras dengan kenyataan yang hanya mampu mencetuskan ketegangan, mewujudkan ketidakharmonian serta melemahkan kedaulatan undang-undang.

“Saya dengan tulus berharap agar beliau bermuhasabah, menghentikan sindiran berunsur fitnah, dan bertindak secara bertanggungjawab pada masa hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.