MB bentang proses selamat tangani pencerobohan, rumah ibadat dibina tanpa kelulusan

MB bentang proses selamat tangani pencerobohan, rumah ibadat dibina tanpa kelulusan

Menteri Besar Amirudin Shari berkata keseluruhan proses melibatkan pihak berkuasa, dan mengambil kira aspek keselamatan.

Amirudin Shari
Menteri Besar Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat MKN Selangor hari ini. (Gambar Pejabat Menteri Besar Selangor)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Amirudin Shari membentangkan proses bagi pemilik tanah persendirian menangani pencerobohan dan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan, dengan mengambil kira aspek keselamatan.

Amirudin berkata proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku.

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” menurut kenyataan.

Seterusnya, pemilik tanah perlu membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat. “Sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan akan bermula.”

Kemudian, menghantar notis kepada pihak yang menceroboh dan maklumkan secara rasmi kepada pejabat daerah. “Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh pegawai daerah telah diaktifkan di semua daerah.”

Amirudin berkata JKD sebagai pengantara akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, polis, dan pihak berkuasa tempatan bagi mencapai penyelesaian yang munasabah.

JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah, sekiranya proses ini tidak membuahkan hasil.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan daripada sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan untuk berlaku,” katanya.

Proses ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, yang dipengerusikan beliau dan dihadiri polis, tentera, yang dipertua majlis dan pegawai daerah.

Berkenaan, rumah ibadat tidak tidak sah yang menduduki tanah milik kerajaan, Amirudin mengarahkan tatacara yang sedang digunapakai di peringkat kerajaan negeri dipertingkatkan, dan tindakan segera di peringkat pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga mengarahkan pengukuhan tatacara operasi standard Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor yang lebih jelas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.