
Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global, S Shashi Kumar, berkata langkah itu akan mengekang pemilik membuang haiwan peliharaan, memandangkan mikrocip berkenaan memudahkan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang kebajikan haiwan, termasuk denda dan penalti bagi pengabaian serta penganiayaan.
“Apabila orang ramai tahu haiwan peliharaan mereka boleh dikesan dan tindakan membuang ada implikasinya, mereka lebih cenderung bertanggungjawab, seperti merancang penjagaan, menyerahkan haiwan kepada pemilik baharu secara bertanggungjawab, atau menyerahkannya melalui saluran undang-undang,” kata Shashi kepada FMT.
Pangkalan data mikrocip akan menyediakan maklumat kepada pihak berkuasa dengan data penting berkait jumlah haiwan peliharaan terdapat di sesebuah kawasan, jumlah dibuang, serta pola pemilikan.
Choong Koon Yean daripada Bantuan Antarabangsa untuk Perlindungan dan Kebajikan Haiwan Pulau Pinang, berkata pengabaian haiwan peliharaan kekal menjadi antara cabaran terbesar yang menjejaskan usaha mengawal populasi haiwan jalanan, termasuk program tangkap-kasi-lepas.
“Kami ada bercakap dengan pemilik ladang dan keluarga yang tidak bertanggungjawab yang mengatakan mereka tidak akan mengembiri (neuter) haiwan mereka. Ada juga yang tanpa segan silu berkata mereka akan buang sahaja anak-anak anjing, dan cabar kami: ‘Apa kamu boleh buat?’
“Inilah kenyataan pahit dialami kerana terlalu sedikit yang kami boleh buat kerana bukan pihak berkuasa. Tanpa penggunaan mikrocip atau sebarang bentuk pendaftaran, tiada cara membuktikan pemilikan atau meminta sesiapa untuk bertanggungjawab,” kata aktivis itu.
Shashi juga berkata, penggunaan mikrocip sepatutnya diperkenalkan lebih awal kerana dapat mengelakkan penganiayaan, penyeksaan, dan kematian haiwan jalanan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Banyak haiwan peliharaan yang hilang secara tidak sengaja oleh pemiliknya, akhirnya ditangkap oleh majlis perbandaran dan dimatikan. Kes ini boleh dielak dengan mudah melalui penggunaan mikrocip, yang membolehkan haiwan berkenaan dikesan semula kepada pemiliknya,” katanya.
Pada 12 Feb, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kerajaan merancang mewajibkan anjing peliharaan mempunyai mikrocip yang ditanam dan kad pengenalan, serta dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan.