Pemilik kenderaan asing isi RON95 hadir ke IPD Kulai bantu siasatan

Pemilik kenderaan asing isi RON95 hadir ke IPD Kulai bantu siasatan

Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

plate singapore
Tangkap layar video tular memaparkan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95.
KULAI:
Pemilik kenderaan asing yang didakwa mengisi RON95 dengan taktik menutup nombor pendaftaran di sini Jumaat lalu hadir ke IPD Kulai bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya segera untuk arahan lanjut.

“Individu berkenaan seperti yang terdapat dalam video (tular melalui laman sosial) merupakan suami isteri berusia 63 dan 67 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan polis berjaya mengesan dan menghubungi pemilik kenderaan berstatus penduduk tetap (PR) yang berada di Singapura itu untuk hadir ke bahagian trafik IPD Kulai segera bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat menerusi media sosial memaparkan tindakan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95, yang berjaya dirakam seorang individu.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menjalankan pemeriksaan dan siasatan di sebuah stesen minyak, susulan aduan dan maklumat tular.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, dilaporkan berkata tindakan diambil bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan iaitu larangan penjualan minyak Petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.