Kesiapsiagaan dorong ibu bapa daftar anak 6 tahun ke pendidikan formal

Kesiapsiagaan dorong ibu bapa daftar anak 6 tahun ke pendidikan formal

Ibu bapa yang daftar anak untuk ke Tahun 1 yakin dengan persediaan dan pembelajaran pendidikan awal sejak usia empat tahun.

sekolah rendah tahun
Lebih 26,000 kanak-kanak berusia enam tahun didaftarkan ke Tahun 1 pada sesi akademik 2027. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keyakinan terhadap tahap kesiapsiagaan akademik dan perkembangan awal menjadi faktor utama sebahagian ibu bapa memilih untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun 1 bagi sesi akademik 2027.

Beberapa ibu bapa yang ditemu bual FMT turut berpendapat langkah itu turut memberi peluang kepada anak mereka didedahkan kepada pembelajaran formal dengan lebih awal.

 Syeda Ayesha Sher
Syeda Ayesha Sher.

Bagi Syeda Ayesha Sher, 34, keputusan mendaftarkan anaknya bukan bermakna mengorbankan zaman kanak-kanak, sebaliknya membuka lebih banyak ruang untuk perkembangan menyeluruh anak di luar bilik darjah.

Mengambil konteks dirinya, pekerja swasta itu merasakan keperluan untuk mendedahkan anaknya ke pendidikan formal selepas dua tahun mengikuti pembelajaran peringkat awal.

“Saya berpendapat sudah tiba masa untuk dia ke alam persekolahan”, jelas Syeda.

“Penjimatan daripada pembayaran yuran tadika boleh dimanfaatkan untuk aktiviti perkembangan seperti dalam bidang muzik, sukan berkuda dan renang,” katanya.

Beliau antara lebih 26,000 ibu bapa mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun 1 bagi sesi akademik 2027.

Pendaftaran dibuka mulai 15 Feb hingga 31 Mac melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) di https://idme.moe.gov.my.

Pandangan itu turut dikongsi Jamal Abdullah, 40, yang percaya anaknya mampu menyesuaikan diri dengan pembelajaran di sekolah rendah walaupun pada usia enam tahun.

“Saya yakin dengan keputusan ini kerana anak saya sudah menguasai asas pembelajaran yang boleh diaplikasikan di sekolah nanti,” katanya.

Menurut Jamal, kemasukan murid enam tahun ke Tahun 1 bukan satu paksaan, sebaliknya peluang dan dorongan untuk kanak-kanak yang sudah bersedia meneruskan pembelajaran formal lebih awal.

Namun, tidak semua ibu bapa sependapat dengan pendekatan itu.

Aisha Rafiqa Mohd Ridzuan, 35, berkata dia memilih tidak mengikut jejak Syeda dan Jamal kerana merasakan anak lelakinya belum bersedia secara akademik dan dari segi perkembangan diri.

Pekerja swasta itu mengakui anaknya masih belum lancar membaca dan mempunyai masalah pertuturan pelat, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengikuti pembelajaran.

“Saya risau kerana tidak mungkin guru dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada anak saya sahaja, sedangkan ramai lagi murid perlu diuruskan,” katanya.

Sementara itu, Chairil Hafiz Khairi Thaw, 34, berkata keputusan menangguhkan pendaftaran dibuat kerana anaknya masih belum mampu mengurus diri dan mengikuti arahan dengan baik.

“Saya bimbang kerana anak saya mempunyai alahan yang agak teruk dan masih bergantung kepada kami sepenuhnya untuk mengurus diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.