
MyDigital ID ialah alat pengenalan dan pengesahan diri digital untuk individu, yang direka bagi kegunaan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna dalam urus niaga dalam talian.
Laporan Ketua Audit Negara 2026 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap struktur kos, syarat yang dipersetujui dan perbelanjaan tidak mengikut tujuan peruntukan.
Laporan itu mendedahkan RM14.09 juta perbelanjaan operasi dibayar di bawah skop perkhidmatan projek menggunakan peruntukan pembangunan. Daripada jumlah itu RM13.10 juta atau 93% untuk bayaran emolumen dan kos sumber sejumlah RM0.85 juta.
Selain itu, sebanyak RM4.08 juta dibelanjakan melebihi peruntukan yang disalurkan bagi 11 sub-skop projek. Salah satu sub-skop projek itu melebihi kos yang diluluskan sebanyak RM70,000.
“Secara keseluruhan, Projek MyDID menunjukkan kelemahan dalam perbelanjaan dan kawalan dalaman semasa pelaksanaan awal di bawah pengurusan Mimos Bhd,” kata laporan itu.
Tambahnya, perolehan peralatan telah dibuat tanpa kelulusan dan tidak digunakan mengakibatkan pembaziran serta kelemahan kawalan aset.
Laporan itu menegaskan Mimos hendaklah melaksanakan kuasa dan tanggungjawab fidusiarinya dengan memastikan setiap proses tadbir urus dan kawalan dalaman dipatuhi bagi memastikan kepentingan Projek MyDID sentiasa terpelihara.
Ia mencadangkan Mimos memastikan perbelanjaan projek dilaksanakan dengan kelulusan jawatankuasa serta mematuhi struktur kos dan tujuan peruntukan, termasuk pematuhan kepada garis panduan pelaksanaan projek pembangunan.
Kerajaan melantik Mimos sebagai agensi pelaksana program MyDigital ID pada 2023 dengan peruntukan awal sebanyak RM80 juta.