Tengku Zafrul jawab Rafizi dakwaan tarif berganda

Tengku Zafrul jawab Rafizi dakwaan tarif berganda

Beliau berkata apabila Mahkamah Agung AS batal tarif dikenakan pentadbiran Donald Trump ia bermakna kadar 19% dikenakan ke atas Malaysia tidak lagi terpakai.

Bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Tengku Zafrul Aziz dakwa Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli cuba putar belit fakta.
PETALING JAYA:
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Tengku Zafrul Aziz menegur bekas menteri Rafizi Ramli kerana mendakwa Malaysia bakal dikenakan kadar tarif hampir dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Tengku Zafrul, bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri, mendakwa Rafizi memutarbelitkan fakta.

“Rafizi janganlah asyik nak ‘spin’, letihlah nak layan. Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ni?” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, apabila Mahkamah Agung AS membatalkan tarif dikenakan pentadbiran Donald Trump, ia bermakna kadar 19% dikenakan ke atas Malaysia tidak lagi terpakai.

Rafizi mendakwa, Malaysia perlu membayar hampir dua kali ganda tarif yang dikenakan sebelum ini susulan keputusan mahkamah AS, sambil menyifatkan perkara berkenaan berpunca daripada tindakan ‘tergesa-gesa’ untuk menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas atau ART dengan kuasa besar itu.

Pada Jumaat, Trump umum mengenakan tarif 10% ke atas semua barangan import ke AS susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan dasar ekonomi utamanya itu.

Rafizi berkata, Perdana Menteri dan Tengku Zafrul perlu ‘disiasat’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membuat perjanjian ART ‘tergesa-gesa’.

SPRM sedang menyiasat satu perjanjian antara kerajaan dengan sebuah firma asing, yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion, yang didakwa dimeterai secara ‘tergesa-gesa’ dan dalam keadaan yang tidak memihak kepada kerajaan.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa kontroversi menyelubungi perjanjian dengan Arm Holdings, sebuah gergasi semikonduktor global, sengaja diperbesarkan untuk memberikan gambaran negatif terhadap dirinya.

Tengku Zafrul menafikan wujud sebarang unsur tergesa-gesa dalam memeterai perjanjian perdagangan dengan AS, sambil menyatakan kerajaan memilih bertindak awal bagi melindungi kepentingan nasional, dan mengumpamakan situasi tersebut seperti insurans perjalanan.

“Dia macam insurans perjalanan. Masa nak melancong orang selalu fikir takkan jadi apa-apa. Tapi, apabila masuk hospital luar negara, bil boleh cecah puluhan ribu ringgit! Waktu itu baharulah kita nak faham kenapa bayar takaful itu penting.

“ART nie pun sama kita bersedia daripada awal, sediakan payung sebelum hujan. Dalam perdagangan global hari ini siap lambat bergerak akan bayar harga yang mahal.

“Ada orang tunggu ribut datang, lepas itu sibuk nak bercakap cara nak selamat. Kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah dulu baru nak cari teduh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.