
Ini memandangkan proses perundangan serta siasatan oleh pihak berkuasa yang berkenaan masih berjalan.
“Namun sekiranya wujud keperluan munasabah pada masa hadapan, perkara tersebut adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.
Menurut Saifuddin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan awal namun mendapati isu yang dibangkitkan lebih bersifat teknikal.
“Hasil siasatan mendapati isu tersebut tidak mempunyai asas kesalahan di bawah Akta SPRM. Bagaimanapun perkara berkenaan masih lagi dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Tambahnya, FAM menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas bagi meneliti dakwaan tersebut secara menyeluruh.
Saifuddin menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada langkah penubuhan RCI akan diambil kerajaan berkait pemain warisan bagi meneliti kemungkinan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam isu berkenaan.
Polis memulakan siasatan sehari selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat laporan berhubung dakwaan pemalsuan sijil kelahiran pemain warisan pada 24 Dis lalu susulan syor jawatankuasa siasatan bebas dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif.
Pada Jan, polis sudah merakam percakapan lapan individu dengan 45 laporan diterima, ketika itu.
November lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dilaporkan berkata, ia mengarahkan sekretariatnya memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Malaysia bagi memulakan siasatan atas dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan kerana pemalsuan ialah kesalahan “hampir dalam semua bidang kuasa”.
FAM dan tujuh pemain bola sepak negara dihukum Fifa September lalu selepas badan induk bola sepak dunia itu mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam 10 Jun lalu.
FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.
Pada 3 Nov lalu, Fifa mengumumkan ia menolak rayuan FAM terhadap hukuman itu. FAM memulakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
CAS membenarkan hukuman terhadap semua pemain ditangguhkan, membolehkan mereka meneruskan kerjaya dan menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan pada 26 Feb.