
Dalam kenyataan, Suhakam menegaskan tiada sebarang penyelewengan dana atau aset mahupun apa-apa bentuk salah laku kewangan berlaku.
Katanya, perkara itu timbul berikutan peralihan kepada sistem aplikasi kewangan baharu berasaskan sistem perakaunan standard bagi agensi kerajaan pada hujung 2022.
“Dalam proses peralihan ini, rekod tunai dan bank terdahulu telah dipindahkan ke dalam modul penyata penyesuaian bank dalam sistem baharu tersebut. Seperti yang dinyatakan dalam dapatan audit, terdapat beberapa transaksi yang melebihi tempoh penyesuaian yang ditetapkan.
“Transaksi ini melibatkan catatan jurnal semasa proses peralihan, pelarasan jurnal terkumpul, serta pembatalan bayaran terkumpul yang dilaksanakan sejak tahun 2022,” katanya.
Suhakam berkata, baki tunai dan bank berjumlah RM754,592 setakat 31 Dis 2024 tidak dapat disahkan semasa audit disebabkan perbezaan yang dijana sistem, melibatkan ‘unreconciled disbursements’ sebanyak RM13.56 juta dan ‘unreconciled receipts’ berjumlah RM12.88 juta sepanjang tempoh peralihan.
“Keadaan ini mewujudkan varians pelaporan apabila pihak Audit Negara memadankan penyata akaun bank Suhakam dengan laporan penyesuaian bank yang dijana oleh sistem baharu.
“Bagaimanapun, baki tunai dan bank sebenar kekal utuh. Varians tersebut tidak menjejaskan kedudukan kewangan keseluruhan Suhakam mahupun integriti aset yang dilaporkan,” katanya.
Pihaknya sedang menangangi varians teknikal itu secara berperingkat dan akan diselesaikan sepenuhnya dalam Penyata Kewangan 2025 melalui penyelarasan antara sistem perakaunan yang dikemas kini dengan keperluan pengesahan audit.
Katanya, kenyataan audit tersebut mencerminkan had pengesahan yang timbul akibat isu penaiktarafan sistem dan pembentangan penyesuaian, bukan menunjukkan kehilangan dana, kerugian kewangan atau sebarang keraguan terhadap integriti kedudukan tunai Suhakam.
“Suhakam telah mengambil langkah-langkah pembetulan bagi menangani perkara ini serta memperkukuh proses penyesuaian dan pelaporan kewangan,” katanya.
Semalam, Laporan Ketua Audit Negara 2026 Siri 1 menamakan 15 agensi persekutuan yang menerima sijil ‘pendapat diubahsuai’ susulan salah nyata kewangan dan urus niaga tidak teratur termasuk Suhakam, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Bernama dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Suhakam dilaporkan tidak dapat mengesahkan baki tunai dan bank berjumlah RM0.75 juta setakat 31 Dis 2024.