Mahkamah benar permohonan Dzulkefly tukar hakim

Mahkamah benar permohonan Dzulkefly tukar hakim

Kes saman fitnah babit Dzulkefly Ahmad dengan Najib Razak sebelum ini didengar Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi.

dzulkefly ahmad n najib razak
Dzulkefly Ahmad memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan mendakwa Najib Razak telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad supaya hakim mendengar kes saman fitnahnya terhadap bekas perdana menteri Najib Razak menarik diri.

Panel tiga hakim diketuai oleh Choo Kah Sing yang bersidang bersama Ahmad Kamal Shahid dan Ong Chee Kwan sebulat suara membuat keputusan itu, lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini kes saman berhubung komen berkaitan isu kronisme didengar Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi.

Choo ketika membacakan alasan penghakiman ringkas panel terbabit berkata pertikaian utama dalam rayuan itu berpunca daripada kenyataan Arziah ketika sesi pengurusan kes.

Menurutnya, Arziah bukan sahaja menetapkan tarikh akhir yang jelas untuk penyelesaian dicapai, malah turut menyatakan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kes itu dibatalkan.

“Sekiranya tiada penyelesaian dicapai, tindakan plaintif (Dzulkefly) akan ditolak. Pada tahap tertentu, ini seolah-olah memaksa plaintif untuk mencapai penyelesaian,” katanya.

Bagaimanapun, panel terbabit berkata, hubungan kekeluargaan antara Arziah dan bapanya iaitu bekas peguam negara Mohamed Apandi tidak mewajarkan penarikan diri Arziah daripada mendengar kes perbicaraan itu.

“Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan hubungan kekeluargaan tersebut, dalam apa jua cara, menjejaskan pertimbangan bebas Pesuruhjaya Kehakiman itu atau mewujudkan konflik kepentingan yang sebenar,” katanya.

Dzulkefly mengemukakan permohonan itu susulan kenyataan Arziah ketika pengurusan kes pada 7 Mac dan 7 April 2025 yang menunjukkan wujud unsur atau persepi berat sebelah berkaitan kes saman berkenaan.

Plaintif ketika itu mengemukakan alasan hubungan kekeluargaan yang mana Arziah ialah anak Mohamed Apandi yang dilantik Najib pada 2016 yang dikhuatiri menimbulkan kebimbangan munasabah wujudnya unsur berat sebelah jika beliau mendengar perbicaraan kes.

Dzulkefly memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan mendakwa Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, mengenai isu kronisme berserta satu lampiran paparan artikel Sinar Harian bertarikh 28 Jan 2019 dengan gambar wajah plaintif (ketika itu bekas menteri).

Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa, Najib menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang Najib selaku defendan atau ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran itu dalam sebarang cara.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Najib dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan menteri kesihatan itu.

Najib mendakwa terbitan itu merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.