Perpaduan nasional semakin kukuh cermin semangat kebangsaan tinggi

Perpaduan nasional semakin kukuh cermin semangat kebangsaan tinggi

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata lonjakan itu turut mencerminkan keyakinan rakyat terhadap sistem tadbir urus negara.

AARON AGO DAGANG
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata faktor terbesar memacu Indeks Perpaduan Nasional 2025 ialah Tadbir Urus dan Pembangunan yang menyumbang 69.7%.
PUTRAJAYA:
Tahap perpaduan nasional negara menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencecah 0.701, sekali gus melepasi sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata lonjakan itu membuktikan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan nasional di landasan tepat, dengan trend peningkatan konsisten daripada 0.567 pada 2018 kepada 0.629 (2022) sebelum mencecah 0.701 tahun lalu.

“Walaupun tahap perpaduan masih pada paras sederhana tinggi, skor 2025 menunjukkan trend semakin mengukuh. Ini mencerminkan semangat kebangsaan tinggi dan keyakinan rakyat terhadap sistem tadbir urus negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, faktor terbesar memacu IPNas 2025 ialah Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) menyumbang 69.7% yang menjadi indikator jelas persepsi rakyat terhadap kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan semakin positif.

TUP merujuk kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan dalam pengurusan kuasa serta sumber bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Dalam kajian ini, TUP diukur berdasarkan persepsi rakyat terhadap enam komponen utama, iaitu pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat, yang mencerminkan tahap keberkesanan kerajaan dalam memenuhi keperluan serta kesejahteraan rakyat.”

Selain TUP, Aaron berkata, Etos Nasional menyumbang 46.7%, diikuti Tahap Keetnikan (34.7%) dan Hubungan Sosial Rentas Etnik (31.4%), yang secara kolektif mengukuhkan fabrik sosial negara.

Mengikut wilayah, katanya, Sarawak mencatat skor tertinggi 0.791, manakala Wilayah Timur kedua tertinggi dengan 0.741.

Wilayah Selatan merekodkan 0.719, Sabah dan Labuan 0.726, manakala Wilayah Tengah (0.670) serta Utara (0.650) berdepan cabaran urbanisasi dan struktur sosioekonomi, namun menunjukkan potensi pengukuhan.

Di peringkat negeri, Pahang mendahului dengan skor 0.817, diikuti Melaka (0.816) dan Sarawak (0.791).

Aaron berkata, tahap perpaduan nasional masih pada kategori sederhana dan kekal rapuh, jika tidak diperkukuh secara konsisten.

“Trendnya menaik dan memberangsangkan, tetapi perpaduan ialah proses berterusan yang memerlukan intervensi strategik, dasar inklusif dan komitmen semua pihak.”

Menurutnya, dapatan IPNas 2025 akan terus dijadikan asas dalam memperhalus dasar serta program kementerian bagi memastikan momentum pengukuhan perpaduan nasional dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.