Fahmi Zainol mengaku tak bersalah tuduhan keganasan rumah tangga

Fahmi Zainol mengaku tak bersalah tuduhan keganasan rumah tangga

Adun Pantai Jerejak itu didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan mencederakan isterinya.

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Anggota Exco Kerajaan Pulau Pinang Fahmi Zainol didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas tuduhan keganasan rumah tangga.

Fahmi yang juga Adun Pantai Jerejak daripada PKR, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut kertas pertuduhan, Fahmi dituduh dengan sengaja mencederakan isterinya Nur Hidayah Abd Jabar di rumahnya di Bayan Lepas, kira-kira 10 pagi, 22 Feb lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan kesalahan mencederakan pasangan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazran Sham, Ikmal Affandi Zulkifli dan Lim Jin Hong manakala Fahmi diwakili Shamsher Singh Thind.

Chia menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala 28 Apr sebagai tarikh sebutan kes.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.