Mahkamah arah inspektor cuba bunuh polis dirujuk ke Hospital Bahagia

Mahkamah arah inspektor cuba bunuh polis dirujuk ke Hospital Bahagia

Peguam tertuduh memberitahu mahkamah anak guamnya mengalami skizofrenia sejak tiga tahun lalu.

inspektor langgar polis trafik
Muhammad Kamal Raj Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana cubaan membunuh dan tujuh pertuduhan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang inspektor polis yang terbabit dalam kes langgar lari anggota trafik di Jalan Sultan Yahya Petra, Jumaat lalu, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta selama 30 hari.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid membuat keputusan berkenaan selepas peguam G Nanda Goban memaklumkan anak guamnya, Muhammad Kamal Raj Abdullah, 40, menghidap skizofrenia sejak tiga tahun lalu.

Menurut peguam itu, keadaan tertuduh sebelum ini terkawal, namun insiden berkenaan dipercayai berlaku selepas tertuduh tidak meneruskan rawatan dan pengambilan ubat.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha kemudian memohon mahkamah menentukan sama ada tertuduh perlu dirujuk ke hospital psikiatri susulan makluman tersebut.

Pada prosiding sama, tertuduh berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dengan melanggar mangsa menggunakan kenderaan.

Sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau sehingga 20 tahun jika menyebabkan kecederaan.

Namun, tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh memaklumkan tidak mengingati kejadian itu akibat masalah kesihatan dialaminya.

Mahkamah menetapkan 14 Mei untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh dengan melanggar seorang anggota polis trafik menggunakan Perodua Axia hingga boleh menyebabkan kematian.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa atas tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Majistret Syazwany Yasmyn Tuan Roslan turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta selama 30 hari.

Tiada pengakuan direkodkan bagi semua pertuduhan dan mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Jun ini.

Selasa lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan tertuduh menghidap skizofrenia serta sedang menjalani cuti perubatan khas, selain dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.

Dalam kejadian kira-kira 10.47 malam itu, mangsa, Roslan Salleh, 27, sedang mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala serta sakit di bahagian rusuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.