Untung Petronas turun 18% kepada RM45.4 bilion

Untung Petronas turun 18% kepada RM45.4 bilion

Syarikat minyak dan gas nasional itu menyifatkan ia berpunca daripada harga purata terealisasi lebih rendah, jumlah jualan, kesan pertukaran wang asing, serta pelupusan pelaburan dalam Engen Group.

Tengku Muhammad Taufik petronas
Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz (tengah), berkata prestasi berdaya tahan yang dicapai pada 2025 ‘diraih dalam persekitaran operasi yang mencabar dan tidak menentu’.
KUALA LUMPUR:
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melaporkan penurunan keuntungan 18% selepas cukai bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 (FY2025), susut kepada RM45.4 bilion berbanding RM55.1 bilion pada FY2024.

Syarikat minyak dan gas nasional itu menyifatkan penurunan hasil 17% — daripada RM320 bilion pada FY2024 kepada RM266.1 bilion — terutamanya berpunca harga purata terealisasi yang lebih rendah, jumlah jualan yang lebih rendah, kesan pertukaran wang asing, serta pelupusan pelaburan dalam kumpulan tenaga Afrika Selatan, Engen Group Ltd.

“Kumpulan mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (Ebitda) yang lebih rendah iaitu RM103 bilion, 10% lebih rendah berbanding tahun sebelumnya (RM114.1 bilion) sejajar keuntungan yang lebih rendah.

“Aliran tunai daripada aktiviti operasi berjumlah RM85.2 bilion, selaras dengan Ebitda yang lebih rendah,” umum syarikat itu dalam kenyataan.

Pelaburan modal berjumlah RM41.6 bilion, terutama daripada aktiviti pembangunan dan pengeluaran huluan, manakala jumlah aset mengukuh kepada RM775.0 bilion.

Ekuiti pemegang saham menyusut kepada RM448.3 bilion, mencerminkan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham dan pergerakan pertukaran wang asing, yang sebahagiannya diimbangi keuntungan sepanjang tempoh berkenaan.

Bagi separuh kedua FY2025, keuntungan selepas cukai merosot 15% kepada RM19.2 bilion, berbanding RM22.7 bilion dalam tempoh sama pada FY2024. Hasil pula menurun 8.7% kepada RM133.6 bilion daripada RM146.4 bilion setahun sebelumnya. Ebitda berkurangan 3% kepada RM48.6 bilion daripada RM50 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz, berkata berkata prestasi berdaya tahan yang dicapai pada 2025 ‘diraih dalam persekitaran operasi yang mencabar dan tidak menentu’.

“Dalam tahun yang dihimpit ketidaktentuan pasaran dan kos yang tinggi, Petronas memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan portfolio kami melalui perkongsian strategik, penambahbaikan kualiti portfolio, dan usaha lain yang meningkatkan nilai.

“Melangkah ke hadapan, cabaran geopolitik dalam industri ini dijangka akan berterusan. Bagi menangani perkembangan ini, Petronas akan menggandakan usaha memperkukuh portfolio serta kekuatan kewangan kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.