
KWSP mengagihkan RM79.6 bilion dividen kepada ahlinya – RM67.1 bilion kepada pemegang akaun konvensional dan RM12.5 bilion kepada pemegang akaun syariah.
Dividen berkenaan akan dikreditkan selewat-lewatnya esok.
Dalam kenyataan, KWSP berkata ia merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, meningkat 9.5% berbanding RM75.5 bilion pada 2024.
Aset pelaburan berkembang kepada RM1,409 bilion, peningkatan 12.8% daripada RM1,250 bilion, didorong pendapatan portfolio dan caruman bersih RM66.5 bilion.
Pengerusi KWSP Zuki Ali berkata walaupun ketegangan perdagangan dan geopolitik berterusan, ekonomi global kekal berdaya tahan pada 2025, membolehkan bank pusat utama melonggarkan dasar dalam suasana inflasi sederhana serta mewujudkan persekitaran menyokong pelabur jangka panjang.
Beliau berkata pengurusan risiko berdisiplin dan portfolio pelaburan pelbagai KWSP membolehkan dana itu mengharungi ketidaktentuan pasaran yang memuncak pada suku kedua susulan pengumuman tarif import timbal balik Amerika Syarikat.
“Kami gembira KWSP mencatat prestasi memberangsangkan pada 2025 walaupun tahun yang tidak menentu dengan dasar perdagangan sukar dijangka,” katanya.
“Pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio.
“Keputusan ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami dalam melindungi simpanan ahli sambil menyampaikan pulangan mampan.”
KWSP berkata jumlah keseluruhan caruman diterima meningkat 12.3% kepada RM121.5 bilion, mencerminkan pertambahan keahlian, pertumbuhan gaji dan keyakinan terhadap dana persaraan itu.
Semakan dasar caruman KWSP bagi pekerja asing turut memacu pertumbuhan keahlian yang ketara, meningkat daripada 16.2 juta pada 2024 kepada 18.1 juta pada 2025.
Keahlian aktif mencecah 10.6 juta, dengan 2.8 juta pendaftaran baharu dan 89,649 majikan baharu, menjadikan jumlah majikan aktif sebanyak 640,391.
KWSP berkata caruman sukarela turut meningkat kepada RM19.2 bilion. Program i-Saraan memainkan peranan penting dengan penerima meningkat 35.9% kepada 720,056 orang dan caruman naik 50.8% kepada RM4 bilion.
Mengulas prospek, Zuki berkata KWSP kekal berhati-hati berdepan ketidaktentuan global.
“Pendekatan pelaburan kami kekal berteraskan disiplin, kepelbagaian dan tadbir urus kukuh.
“Sebagai dana persaraan jangka panjang, KWSP beroperasi dengan horizon pelaburan berbilang tahun, mengiktiraf pulangan mungkin berbeza dari tahun ke tahun namun kekal fokus kepada pulangan mampan bagi membolehkan ahli menikmati kesan penggandaan untuk mengembangkan simpanan mereka,” katanya.