Aliran trafik lebuh raya utama mula perlahan malam ini

Aliran trafik lebuh raya utama mula perlahan malam ini

Keadaan trafik secara keseluruhan khususnya di Lembah Klang masih bergerak lancar tetapi perlahan di beberapa lokasi setakat 8.21 malam.

sesak keluar Kuala Lumpur
Di Lebuhraya Utara–Selatan arah utara dilaporkan sesak dari Kota Damansara ke Rawang selatan, Sungai Buaya ke Bukit Beruntung, Gua Tempurung ke Gopeng dan Juru ke Perai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aliran trafik dijangka berlaku kelewatan di beberapa lebuh raya utama keluar dari Lembah Klang menuju utara, selatan dan timur Semenanjung malam ini.

Dalam kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, keadaan trafik secara keseluruhan khususnya di Lembah Klang masih bergerak lancar tetapi perlahan di beberapa lokasi strategik setakat 8.21 malam.

“Di Lebuhraya Utara–Selatan arah utara dilaporkan sesak dari Kota Damansara ke Rawang selatan, Sungai Buaya ke Bukit Beruntung, Gua Tempurung ke Gopeng dan Juru ke Perai.

“Arah selatan pula perlahan dari Nilai ke Bandar Ainsdale,” katanya menurut Harian Metro.

LLM berkata, bagi pengguna Tambak Johor, perjalanan arah selatan dari Johor Bahru ke Woodlands dijangka menghadapi kelewatan.

Sementara itu, di lebuh raya Laluan Kedua Malaysia–Singapura trafik bergerak perlahan dari Jambatan ke Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar.

“Di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) laluan timur dari Gombak ke Bukit Tinggi dan Lentang ke Bentong turut mengalami kesesakan.

Dalam pada itu, LLM menasihatkan orang ramai merancang perjalanan dengan menggunakan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya utama.

Katanya, lebuh raya bukan litar lumba dan setiap pemandu perlu sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan demi keselamatan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini lebuh raya bertol seluruh negara melalui hotline 1-800-88-7752, saluran WhatsApp LLM Info Trafik, aplikasi X @Ilminfotrafik, Facebook LLM, TikTok @Ilmtrafik serta aplikasi TUJU untuk paparan CCTV lebuh raya dan aduan kerosakan melalui aplikasi MYJalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.