Harga RON97 naik 70 sen, diesel naik 80 sen di Semenanjung

Harga RON97 naik 70 sen, diesel naik 80 sen di Semenanjung

Harga RON95 pula tidak berubah, berkuat kuasa hingga 25 Mac.

fuel
PETALING JAYA:
Harga petrol RON97 akan naik 70 sen di seluruh negara mulai esok, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat 80 sen.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, harga RON97 akan ditetapkan pada RM4.55 seliter, berbanding RM3.85 seliter pada masa ini.

Harga diesel di Semenanjung pula akan ditetapkan pada RM4.72 seliter, naik daripada RM3.92 seliter.

Sementara itu, petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 akan kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.

RON95 tanpa subsidi akan terus dijual pada harga RM3.27 seliter.

Harga-harga ini berkuat kuasa sehingga 25 Mac.

Menurut Kementerian Kewangan, harga RON97 dan diesel meningkat susulan peningkatan harga minyak global yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah.

“Walaupun Malaysia negara pengeluar minyak, produk petroleum bagi kegunaan domestik masih diperoleh melalui pasaran global. Justeru, harga bahan api domestik kekal dipengaruhi oleh pergerakan harga antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, harga RON95 dikekalkan bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga, terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri apabila ramai rakyat pulang ke kampung halaman.

Katanya, lebih 400,000 kenderaan dalam sektor pengangkutan dan logistik juga akan terus menikmati skim subsidi bersasar yang berkaitan untuk mengelakkan peningkatan kos secara mendadak, sekali gus menyokong kestabilan harga keseluruhan dalam ekonomi.

“Kerajaan Madani akan terus mengambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus harga bahan api domestik susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran minyak global,” kata kementerian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.